Perak Benarkan Solat Jumaat Mulai Esok & Solat Sunat Aidilfitri Dengan Bersyarat Tidak Melebihi 12 Orang

Aktiviti solat Jumaat telah dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau diri Jumaat di seluruh Perak, berkuatkuasa pada 15 Mei ini (esok).

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, Shahrul Azam Shaari berkata, keputusan oleh pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak itu turut sama diberikan untuk solat sunat Aidilfitri dengan tertakluk kepada beberapa syarat.

“Bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib, serta pengerusi jawatankuasa kariah hendaklah mengenal pasti dan menetapkan bahawa jemaah yang dibenarkan hadir terbatas kepada kalangan ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid atau surau.

“Warga emas berusia 60 tahun ke atas adalah tidak digalakkan, selain setiap jemaah perlu membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan rekod kehadiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jemaah bergejala tidak dibenarkan

Selain itu, setiap jemaah diarahkan untuk berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan sejadah masing-masing juga perlu dibawa sendiri.

“Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema serta mempunyai sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit barah dan sebagainya turut tidak dibenarkan hadir.

“Penggunaan pembesar suara luar semasa bacaan khatib dan takbir adalah dibenarkan bagi manfaat ahli kariah.

“Tempoh masa bermula azan, khutbah hingga solat Jumaat dan tempoh masa bermula takbir hingga selesai solat sunat Aidilfitri dihadkan tidak melebihi 20 minit.

“Penyusunan saf pula perlu mengikuti prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), jemaah hendaklah bersurai usai selesai solat dan sebarang jamuan makanan turut tidak dibenarkan selepas solat sunat Aidilfitri,” tambah Shahrul.

Khutbah tidak melebihi 10 minit

Menurutnya lagi, masjid dan surau sehingga kini masih belum dibuka untuk orang ramai, sebaliknya kebenaran tersebut hanya diberikan kepada ahli jawatankuasa kariah serta pegawai masjid dan surau sahaja.

Difahamkan, bagi mana-mana masjid dan surau yang gagal mematuhi syarat-syarat tersebut, kebenaran mengadakan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri tersebut akan ditarik semula.

“Teks khutbah solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri hendaklah ringkas dan padat, dengan masa penyampaian tidak melebihi 10 minit, disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).

“JAIPK akan mengeluarkan satu garis panduan kaedah pelaksanaan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat di negeri Perak serta menyelia dan memastikan garis panduan dipatuhi,” katanya lagi.

Arahan dan ketetapan tersebut hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga sebarang arahan baharu daripada Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak dikeluarkan.

Sumber: Bernama & Siakapkeli

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*