Anak Abby Abadi, Baby Danial kritikal

KUALA LUMPUR – Anak kepada pelakon Gerak Khas, Abby Abadi dan pasangan, Faizal Zakaria yang dilahirkan dalam keadaan pramatang bergantung hayat sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan.

Abby Abadi menerusi perkongsian dalam Instagramnya berkata, bayinya, Muhammad Danial Firman Faizal yang berusia 11 hari berada dalam keadaan kritikal dan masih menerima rawatan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) di Hospital Sungai Buloh.

Menurut Abby Abadi, pasukan perubatan memaklumkan peluang untuk anaknya hidup terlalu tipis dan menasihatkan supaya dia dan suami untuk sentiasa berada di sisi anak mereka.

“Baby Danial sudah 90 peratus bergantung dengan mesin untuk bernafas. Penggunaan mesin tersebut maksimum mengikut kesesuaian bayi seusia Danial.  Kata doktor, keadaan Danial sangat kritikal. Malam ini jangan pergi jauh-jauh.

“Ya Allah, sayu dengar bila doktor berkata begitu. 50/50 peluang untuk baby Danial hidup kerana dia lahir dalam keadaan tidak bersedia dengan hanya berat 535 gram pelbagai perkara berkemungkinan berlaku,” katanya.

Menerusi perkongsian yang sama, Abby berkata, pada awalnya dia enggan berkongsi keadaan terkini anaknya, namun melakukan sebaliknya demi mendapatkan doa daripada pengikutnya.

“Saya dan suami kuatkan hati dan tidak pernah putus berdoa. Tiada apa yang saya harapkan daripada sahabat di sini hanya doa yang boleh mengubah takdir bayi kami,” tuturnya.

Abby selamat melahirkan Muhammad Danial Firman pada 27 September lalu secara pembedahan.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada pada 14 Ogos 2015 turut mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Abby dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 11.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*